Tuesday, October 14, 2008

Segregasi etnik dan cabaran integrasi nasional

SEGREGASI ETNIK DAN CABARAN INTEGRASI NASIONAL


Pengenalan

Segregasi atau pengelompokkan etnik merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi bermaksud pemisahan atau pengasingan kumpulan etnik dengan etnik yang lain dalam sesebuah negara sama ada disebabkan oleh kawasan kediaman, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam (Shamsul Amri Baharuddin, 2007). Segregasi juga dimaksudkan sebagai hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di dalam sesebuah negara (http://tatiuc.edu.my/syahrul/integrasi1.htm).
Segregasi etnik merupakan satu keadaan yang lazim di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Sejarah dan asal-usul sesuatu etnik telah membuktikan bahawa pewujudan segregasi etnik ini sudah berlangsung sejak sekian lama.
Di Malaysia, meskipun tanpa kehadiran pihak penjajah barat, pola segregasi ini tetap terjadi kerana atas alasan faktor amalan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan faktor agama. Ini dapat dilihat daripada pola taburan suku kaum masyarakat di Malaysia yang hidup secara mengelompok berdasarkan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan kepercayaan yang sama di sesuatu tempat. Pengaruh daripada faktor–faktor ini, telah memberikan satu pegangan tanpa paksaan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa ada pertikaian. Senario ini telah mewujudkan nama-nama kampung seperti perkampungan orang Melayu, perkampungan orang Cina dan perkampungan orang India. Di Sabah khususnya kita dapat mengenal segregasi etnik yang amat jelas berdasarkan kaum. Ini dapat dilihat daripada melalui pola taburan suku kaum mengikut suku kaum, misalnya suku kaum Rungus, Dusun, Bajau, Eranun, Sungai, Kimaragang, Suluk, Murut mendiami satu-satu kawasan tanpa bercampur dengan suku kaum yang lain.
Perubahan pembangunan yang pesat di Malaysia telah mengubah sedikit senario pola taburan etnik. Dasar kerajaan yang sangat progresif ke arah meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat, telah membantu mempercepat mengurangkan segregasi mengikut etnik secara nyata terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun, perubahan mekanisme ini tidak selalunya berjalan lancar dan sentiasa ada pengaruh lain yang boleh menyeragamkan semula seperti keadaan sedia kala. Kekuatan-kekuatan dari segi aspek ekonomi, sosial dan politik boleh menjadi faktor penentu kepada pembentukan segregasi etnik moden. Ini memberikan satu petunjuk yang jelas seperti mana pandangan Dr. Rahmat Ghazali yang menyatakan bahawa nasionalisme etnik lebih jelas terkandung dalam jiwa masyarakat etnik Cina sedangkan masyarakat Melayu secara sedar rela kaum mereka disegregasikan oleh ideologi politik daripada berdiri dalam satu pemuafakatan semangat Melayu (http://mymassa.com/myvoice/index.php?itemd=260).
Pola pengelompokkan etnik ini telah diketahui umum bahawa ianya tidak mendatangkan hasil apa-apa kepada usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di sesuatu tempat. Negara yang mempunyai bahasa dan budaya yang sama pun mengalami pemisahan dan konflik seperti Korea. Ini memberikan jawapan yang begitu jelas bahawa masalah pemisahan kaum dengan kepelbagaian amalan nilai, kepercayaan, bahasa, dan budaya satu momentum ke arah perpecahan sebuah negara bangsa. Keadaan ini tidak dapat dibendung kerana, menurut Ma’mun Ibnu Ridwan, dengan adanya kepelbagaian etnik akan menimbulkan masalah sosial dan budaya yang tidak mudah diatasi, yang akhirnya menyumbang kepada pertumpahan darah (http://64.203.71.11/kompas-cetak/0507/26/metro/1922879.htm).
Berdasarkan kepada Peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia telah merangka beberapa dasar dalam usaha menyusun semula masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Program pembangunan ekonomi yang berteraskan kepada pendekatan ekonomi Islam telah mendapat reaksi yang berbeza-beza di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Ini dapat dilihat daripada penyataan Syed Omar Syed Agil Al-Attas (1994) yang menyebut bahawa orang-orang Islam yang tidak memahami hakikat Islam dan matlamatnya mempertikaikan kemampuannya dan mendakwa bahawa pelaksanaannya akan merunsingkan lagi polarisasi kaum di Malaysia. Sementara, orang-orang yang bukan Islam pula berasa bimbang bahawa pelaksanaannya akan membawa dan mewujudkan suasana penindasan, diskriminasi (bias), lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan DEB itu sendiri sudah pun mempamerkan ciri-ciri sedemikian rupa. Melihat kepada keadaan ini, jelas bahawa pendekatan ekonomi dalam merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum tidak mendapat sambutan secara menyeluruh walaupun dengan kaum bumiputera itu sendiri, malah disifatkan pendekatan kurang praktikal serta mengundang spekulasi yang negatif antara kaum, yang akhirnya menambahkan lagi masalah ke arah integrasi nasional di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, kita sudah mengetahui bahawa pemisahan antara etnik berkaitrapat dengan memenuhi kehendak-kehendak ekonomi yang menjadi asas kepada masyarakat. Keadaan ini dapat dilihat seperti mana kupasan Tang Chee Yee (1992) yang menyebut bahawa orang-orang Melayu dalam keadaan kemiskinan dan masih menjadi petani dan nelayan; kaum Cina menguasai bidang perniagaan dan tinggal di bandar-bandar, kaum India menjadi buruh di ladang-ladang getah. Keadaan ini telah menimbulkan keresahan kepada golongan bumiputera dengan orang-orang Cina akan menguasai bidang ekonomi dan mereka akan tenggelam dibumi sendiri akibat daripada kemiskinan. Sementara masyarakat Cina dan India pula bimbingan kerana syarat-syarat hak kerakyatan. Senario ini sangat relevan dengan satu kajian tentang kaum buruh, gologan minoriti yang menguasai golongan majoriti akan sentiasa berkonflik kerana setiap kelas mempunyai kesedaran untuk perpaduan dan menjaga kepentingan kelas masing-masing serta berseteru dengan kelas lain (Amir Hassan Dewi, 2002). Pandangan ini selari dengan teori konflik yang menyatakan bahawa persaingan untuk memperolehi kedudukan ekonomi merupakan perkara utama menjadi punca konflik dalam masyarakat. Ini bermakna pendekatan berkonsep ekonomi perlu dikaji semula agar pelaksanaan lebih relevan dan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Pandangan rakyat dalam usaha perancangan pembangunan ekonomi tidak boleh pandang remeh, malah ia merupakan satu garis panduan ke arah mengenalpasti masalah yang dihadapi di semua peringkat kerana rakyatlah yang lebih memahami dan mengetahui penderitaan dan kesengsaraan hidup.
Perselisihan antara kaum dalam sesebuah negara tidak mendatangkan keuntungan apa-apa, malah ia merupakan satu proses permulaan kepada kemusnahan sebuah negara bangsa yang merdeka. Sejarah telah membuktikan bahawa negara-negara yang bersengketa antara kaum dan agama telah memusnahkan harapan bangsa negara yang maju dan unggul serta mengundang kepada campurtangan kuasa luar.
Dalam konteks integrasi nasional di Malaysia, persoalannya adalah ibaratkan seperti sebuah lingkaran yang tidak mempunyai jalan keluar. Adakah persoalan integrasi ini begitu sukar mencari formula yang relevan dan menepati sasaran. Berbagai pandangan dan pendekatan telah dijalankan sehinggalah kepada mewujudkan satu Institut Kajian Etnik kerana semata-mata untuk merapatkan hubungan dan sikap toleransi dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia. Isu tentang tentang penguasaan dan penggunaan bahasa pengantar rasmi iaitu Bahasa Malaysia dan juga bahasa perpaduan rakyat Malaysia telah dilaksanakan sekian lama sehingga ianya menjadi salah satu syarat dalam hak kerakyatan. Namun persoalan tentang perpaduan negara dan integrasi nasional sehingga sekarang sering disebut-sebut oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan, para politikus, golongan akademik, serta media cetak dan elektronik tanpa ada hujungnya. Walhal, sebenarnya masalah bermula iaitu sejarah pengasingan antara kaum tertanam kukuh bersama bahasa, budaya dan pegangan kepercayaan serta amalan nilai berdasarkan suku kaum masing-masing. Faktor segregasi ini jugalah merupakan punca segala kemelut bermula dalam isu-isu yang berkaitan dengan integrasi nasional. Faktor ini merupakan cabaran terbesar dalam menangani masalah integrasi nasional seperti mana yang dinyatakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bahawa segregasi merupakan cabaran paling besar dalam keempat-empat konsep perpaduan (Shamsul Amri Baharuddin,2007)
Berlandaskan kepada huraian pengertian segregasi di atasi, telah menyebut bahawa wujud dalam persekitaran manusia seperti kawasan kediaman, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Ditinjau dari segi rasional kewujudannya, kita dapat memahami bahawa ikatan-ikatan yang kukuh seperti homogeniti bahasa dan amalan nilai yang dijalankan pada satu-satu tempat kediaman atau kawasan tempat tinggal maupun sebuah sekolah, akan meningkatkan lagi tahap persaingan antara komuniti untuk terus mempertahankan amalan nilai yang telah dipersetujui bersama. Satu keadaan yang tidak dapat dibayangkan adalah seakan kita tidak dapat melihat dengan jelas bahawa pewujudan komunitinya yang homogen atau pewujudan sekolah vernakular ini merupakan salah satu daripada faktor halangan kenapa usaha perpaduan nasional sukar diterjemahkan dalam masing-masing bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Keadaan ini akan melahirkan satu persaingan yang semakin tinggi antara kaum kerana ideologi bebas berkembang di sekitar komuniti tersebut dan ingin masing-masing mengatasi kaum satu dengan yang lain. Senario ini telah disentuh secara tidak langsung oleh Shamsul Amri Baharuddin dalam membicarakan tentang perpaduan rakyat, di mana beliau menyatakan bahawa di satu peringkat kita hendak mempertahankan sistem pendidikan berbilang kaum, sementara di satu lagi peringkat kita mahu mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahawa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Bagi mengurangi segregasi masyarakat di Malaysia, perlu ada satu rombakkan secara derastik dan secara besar-besar terhadap kurikulum pendidikan negara iaitu perlu mengambil berat dan memasukkan pembelajaran berbagai bahasa berbilang kaum sebagai salah satu subjek yang perlu dipelajari di sekolah. Pewujudan seperti ini bukan sahaja mengurangkan keperluan pertumbuhan sekolah-sekolah jenis kebangsaan, akan tetapi semua bangsa dapat mempelajari berbagai bahasa dan saling menerima dan mengkomunikasikan dalam kehidupan harian tanpa sekatan. Jika ini berjaya dipelajari oleh satu generasi berikutnya di bawah satu bumbung sekolah, masalah halang integrasi nasional yang berkaitan dengan akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amagamasi dapat di atasi dengan sendiri. Pemumpukan saling menghargai dan menerima kekayaan bahasa orang lain bukan sahaja dapat berkomunikasi secara berkesan, malah mewujudkan satu keadaan hubungan rapat seperti ahli keluarga atau bersaudara. Strategi seperti ini lebih kepada pendekatan integrasi sosial di mana satu proses menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan penghapusan perbezaan dan identiti masing-masing (Zaid Ahmad et. Al, 2006)
Meskipun, pendekatan ini bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik, kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan secara mendalam. Namun tidak ada jalan pintas menuju ke arah keharmonian dan kedamaian tanpa melalui ujian yang hebat. Pakar-pakar hubungan etnik menyatakan bahawa antara sikap-sikap yang dianggap sebagai negatif dan menghalang perpaduan negara adalah apabila tidak setia pada negara, tidak memiliki semangat patriotisme, tidak mahu berkompromi, menggunakan berbagai-bagai strategi dan taktik untuk kemenangan kaum sendiri, mementingkan diri, tidak menghiraukan perasaan kaum-kaum lain, tidak mahu hidup berjiran, tidak ada rasa keseronokan untuk saling membantu, bermusuhan dengan kaum-kaum lain, curiga yang terlalu tinggi terhadap kaum lain, hanya mementingkan komuniti etnik sendiri, dan tidak berusaha untuk mempelajari yang terbaik daripada kaum-kaum lain (Mansor Mohd Noor et al, 2007). Pernyataan ini diperkukuhkan lagi seperti mana yang kemukakan oleh para sosiolog di mana mereka memandang betapa pentingnya pengetahuan tentang interaksi sosial. Pengetahuan tentang interaksi sosial memungkinkan seseorang untuk memperoleh pengertian mengenai segi yang dinamis dari masyarakat atau gerak masyarakat. (Soekanto, 2002:61 dalam Badruzzaman).
Melihat kepada faktor halangan sosialisasi di atas, integrasi hanya dapat dicapai jika berlaku interaksi dua hala kerana melaluinya akan menumbuhkan semangat kekitaan dan kekeluargaan. Interaksi hanya akan berlangsung jika penutur bahasa memahami dan menguasai bahasa dan mengungkapkannya seperti bahasanya.


Bahasa merentasi bahasa integrasi, bahasa merentasi psikologi dan sosiologi dan bahasa merentasi segregasi etnik.














BIBLIOGRAFI

­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­Amir Hassan Dewi. 2002. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Edisi Kedua. Tanjong Malim.Quantum Books.

_____________.Diperolehi 10 September 2008, Daripada http://tatiuc.edu.my/syahrul/integrasi1.htm
Badruzzaman. Diperolehi 10 sept 2008, Daripada http://bz69elzam.blogspot.com/2008/07/perkembangan-permukiman-di-perkotaan.html,
Ma’mun Ibnu Ridwan. Jakarta Kota Multikultural. Diperolehi 10 September 2008: daripada http://64.203.71.11/kompas-cetak/0507/26/metro/1922879.htm.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee. 2007. Hubungan Etnik Di Malaysia. Cetakan Kedua. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Rahmat Ghazali. Diperolehi 10 September 2008, Daripada http://mymassa.com/myvoice/index.php?itemd=260.

Shamsul Amri Baharuddin. 2007. Diperolehi 10 September 2008, Daripada http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang-undang/mukadimah_fahami_makna_perpaduan_htm1.

Syed Omar Syed AgilAl-Attas. 1994. Wawasan Pembangunan Negara Tahun 2020. Kuala Lumpur: Institut Perkembangan Minda (INMIND).

Tang Chee Yee. 1992. Negara Kita.Cetakan Kelima. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Zaid Ahmad, Ho Hui Ling, Sarjit Singh Gill, Ahmad Tarmizi alib, Ku Halim Ku Arifin, Lee Yok Fee, Nazri Muslim Dan Ruslan Zainuddin. 2006. Hubungan Etnik Di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.